Tuesday, December 14, 2010

Sein dan Nana Bercerai Talak Satu


Program Sehati Berdansa pernah mencetuskan pelbagai kontroversi dek langkah tarian pasangan artis yang bersatu langkah menari bersama disamping kontroversi pasangan yang bercerai sesudah program tersebut berakhir suatu ketika dahulu. Kini program tersebut telah pun digantikan dengan ‘Mari Menari’ namun masih menggunakan format yang sama cuma pasangan yang menari bukan lagi tersiri dari golongan artis. Terlalu banyak kontroversi yang dapat didengar sepanjang program Sehati Berdansa berjalan antaranya ada pasangan yang sering bergaduh dan ada yang sehingga bercerai.
Kini, juara Sehati Berdansa 3 iaitu Sein dan Nana pula seakan mengiyakan badi yang menimpa keruntuhan rumahtangga kebanyakan pasangan yang menyertai Sehati Berdansa sebelum ini. Pasangan ini telah mengejutkan ramai pihak apabila mereka bercerai dengan talak satu pada pukul 3 petang, Rabu, 8 Disember 2010 di Mahkamah Syariah Shah Alam dalam sebuah prosiding yang diadakan secara tertutup.
Pasangan ini yang telah mendirikan rumahtangga sejak tahun 2006 telah pun dikurniakan dengan dua orang cahayamata yang masih kecil iaitu berumur lingkungan 2 dan 4 tahun dan ketika program Sehati Berdansa dijalankan tahun lalu, Nana baru sahaja melalui proses kelahiran anak kedua mereka. Tidak dapat dipastikan apa punca sebenar keruntuhan rumahtangga merpati sejoli ini namun melalui laman sosial ‘Facebook’ Nana baru-baru ini ada menyatakan ketidakpuasan hatinya terhadap sesuatu yang berlaku di dalam kehidupannya dan ada kemungkinan ianya berkaitan dengan orang ketiga yang muncul di dalam hidup Sein.
Jika diimbas kembali ketika Sein dan Nana menyertai program Sehati Berdansa, pasangan ini merupakan antara pasangan yang kerap bergaduh mengenai perihal tarian mereka dan ada sesetengah babak pasangan ini yang tidak dipaparkan di kaca televisyen antaranya pergaduhan di antara mereka yang membuatkan Nana menengking dan memarahi Sein ketika tersilap langkah di sesi latihan. Pergeseran di antara mereka juga kerap kali berlaku ketika sesi latihan namun ianya sama sekali tidak menjejaskan persembahan mereka sehingga layak bergelar juara Sehati Berdansa musim ke-3.
Setelah berita perceraian mereka mula tersebar, ramai rakan artis yang menyertai program Sehati Berdansa bersama mereka dahulu meluahkan rasa terkejut di atas dugaan yang menimpa Sein dan Nana.
Antaranya ialah Sazzy Falak yang tidak menyangka bahawa rakan seperjuangannya di lantai tarian suatu ketika dahulu menghadapi permasalahan sehingga berakhir sebegini rupa. Manakala Isma AF7 turut meluahkan rasa yang sama dan beliau berharap agar ‘badi’ Sehati Berdansa dijauhkan darinya dan berharap agar rumahtangga beliau dan Zul 2by2 kekal selama-lamanya.
Apa-apa pun kita sebagai umat Islam tidak harus percaya dengan persoalan ‘badi’ ini kerana setiap rumahtangga ada asam garam serta pahit manisnya. Tambahan pula apabila menyertai sebuah program yang memerlukan mereka bekerjasama secara langsung di depan kamera, pasti ada yang terlepas pandang dan segala keburukan dan tingkah laku yang kurang enak dipaparkan untuk tontonan masyarakat.

Sumber: CERITERA
p.s : Minta dijauhkan dari perkara sebegini...setiap apa yang berlaku ada hikmahnya...

No comments: